PANITIA BAHASA MELAYU

Dikelolakan oleh En Md Basir B Ramli dan En Rosnian B Ahmad Razali.
 
BAHASA MELAYU UPSR
 
(Untuk Calon, Bakal Calon UPSR, Guru Bahasa Melayu
dan Ibu Bapa Yang Prihatin)
 
Catatan: Cadangan atau panduan yang diberikan ini berupa tambahan kepada strategi yang
biasa guru Bahasa Melayu berikan dalam kelas).
 
* Jadikan amalan membaca sebagai satu kemestian dalam kegiatan sehari-hari. Lebih baik jika
membaca menjadi satu ketagihan. Anda mungkin mendapat gelaran ulat buku, tapi itu bukanlah
anugerah yang maha penting.
 
Anugerah lebih penting ialah ketika keputusan peperiksaan dan ketika ingin melanjutkan pelajaran
ke tahap lebih tinggi. Ingat, "Lebih banyak kita membaca, lebih banyak yang kita tak tahu.
Lagi banyak yang kita tak tahu, lebih banyak yang kita perlu baca".
 
Faedah utama yang boleh didapati daripada banyak membaca ini ialah, luas perbendaharaan kata,
mahir tatabahasa, cepat memahami petikan ataupun ayat, dan luas pengetahuan am.
 
* Cuba sentiasa ambil berat atau prihatin terhadap penggunaan Bahasa Melayu sehari-hari di media
ataupun sekeliling anda. Catatkan kesalahan yang mungkin berlaku dalam dua keadaan tadi. Paling
mudah, berapa kali perkataan "mereka-mereka" digunakan oleh individu yang membuat kenyataan
dalam siaran berita TV atau radio.
 
Ini bukan semata-mata mencari kesalahan orang lain, tapi mendidik kepekaan diri anda sendiri terhadap
kesalahan yang di-lakukan, dan menjadi ingatan kepada diri anda sendiri.
 
Jadi apa faedahnya kepada anda? Imbuhannya anda akan terasa lebih cinta akan bahasa sendiri, dan tidak
mengulangi kesalahan yang orang lain telah buat. Walaupun yang membuat kesalahan tersebut se-orang menteri!
 
Sedikit rasa bangga mungkin timbul kerana anda dapati diri anda (Tahun 6) telah menggunakan Bahasa Melayu
dengan lebih baik berbanding seorang menteri! Hebat juga!
 
 
* Bagi memahirkan diri anda dalam menulis karangan, latihan sendiri memang penting. Jangan membosankan diri
dengan menulis karangan berbentuk fakta semata.
 
Cuba menulis cerita pendek yang pelbagai bentuk, surat atau novel. Ini akan memahirkan anda membina ayat,
kreatif, meminimakan kesalahan bahasa dan paling utama didik diri anda gemar menulis dengan penggunaan
bahasa yang betul.
 
Namun kebiasaannya minat untuk menulis terutama bentuk sastera muncul apabila anda benar-benar tertarik
hasil tulisan seseorang. Contohnya saya sendiri mula cuba menulis novel ketika Tahun 6 setelah begitu ketagih
dan mengemari novel-novel karya Enid Blyton.
 
Sayang anda berada di zaman di mana tiada buku cerita atau novel kanak-kanak yang bermutu. Apa yang ada
adalah majalah hiburan yang bolehlah anda sebagai seorang pelajar anggap sebagai musuh!
 
* Bagi kedua-dua kertas Bahasa Melayu, anda perlu menyenaraikan kelemahan-kelemahan yang dikesan
(hasil ujian bulanan, latihan atau dignosis guru). Apabila sudah mengenali kelemahan diri, cuba atasi atau
jangan ulangi kesalahan yang sama.
 
Namun bagi kelemahan menjawab soalan yang jawapannya berkombinasi, contohnya A I, II, dan III. B II dan
IV serta sebagainya, teknik dan strategi tertentu diperlukan. Tentu guru Bahasa Melayu anda telah ajarkan
teknik tersebut. Jika sebaliknya, tunggu saya mengemaskini halaman ini.
 
 
 
BAHASA MELAYU PEMAHAMAN (untuk murid Tahap 2)
 
Panduan Menjawab Soalan-Soalan Yang Jawapannya Berbentuk
Kombinasi
 
Hasil pengalaman saya, bahagian soalan pemahaman yang paling sukar dan mengelirukan murid ialah
soalan di mana jawapan yang berkombinasi. Soalan-soalan ini biasanya berkenaan kata ganda, memilih
perkatan bergaris yang betul dan memilih ayat-ayat yang betul.
 
Soalan-soalan yang jawapannya berkombinasi ini pula biasanya di bahagian penghujung kertas pemahaman
ini yang jumlah biasanya tak kurang lapan soalan. Keadaan ini memang agak menyukar murid yang cepat
hilang tumpuan.
 
Di sini saya cuba membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan menggunakan satu kaedah khas.
Walau bagaimanapun ianya perlu diamalkan dari peringkat awal (Tahun 4).
 
Selamat mencuba!
 
Ikuti langkah-langkah di bawah:
 
01. Pastikan ayat pertama sama ada betul ataupun salah.
 
02. Jika ayat pertama dapat dipastikan ianya betul, maka jawapan yang terdapat ayat pertama dalam
kombinasinya, besar kemungkinan betul. Maka ambil perhatian terhadap jawapan tersebut.
 
03. Sementara jawapan yang kombinasinya tiada ayat yang pertama, terus saja dipotong.
 
04. Hasilnya, pilihan jawapan kamu menjadi kecil. (lihat contoh)
 
05. Lakukan perkara sebaliknya jika ayat pertama adalah salah. Dimana jawapan yang kombinasinya
ada ayat pertama terus dipotong. Yang tiada, kemungkinan adalah jawapan.
 
06. Kemungkinan kamu akan mendapat jawapan setelah membaca satu atau dua ayat saja. Walau
bagaimanapun kamu mesti membaca semua ayat sebagai langkah semakan.
 
Contoh :
 
Soalan. Pilih ayat atau ayat-ayat yang menggunakan perkataan bergaris dengan betul.
 
I. Ramai perajurit kita gugur sewaktu mempertahankan negara.
ii. Budak itu gugur dari atas kerusi.
iii.Buah nangka itu gugur kerana terlalu masak.
iv.Wang syilingnya gugur kerana kocek seluarnya berlubang.
 
A. I dan II sahaja
B. I dan III sahaja
C. II dan IV sahaja
D. III dan IV sahaja
 
07. Bagi contoh di atas, ayat pertama dapat dipastikan betul. Maka jawapan C dan D yang tidak
mengandungi ayat I hendaklah dipotong (abaikan). Sekarang pilihan jawapan kamu hanya tinggal
A dan B sahaja.
 
08. Setelah kamu membaca ayat II yang jelas adalah salah, maka jawapan yang tinggal ialah B. Maka B
adalah jawapan yang betul.
 
09. Tapi diperingatkan sekali lagi, baca semua ayat.